29 April 2010

Berbakti selagi mereka masih ada...


Ibu...

Ibu…

Engkaulah ratu hatiku…

Ketika kuberduka..engkau menghibur selalu…


Hati saya selalu tersentuh apabila mendengar lagu iklan ini di kaca televisyen. Sejak kebelakangan ini banyak masa saya habiskan bersama mama tersayang. Terlantar di katil tidak mampu berjalan segagah dulu dan bercakap seramah dulu sentiasa membuatkan hati saya sayu. Disahkan mengidap kanser paru-paru dua tahun lalu, hidup mama berubah serta-merta dengan hospital menjadi rumah kedua dan pelbagai ubat-ubatan menjadi makanan harian yang wajib diambil. Mama tabah menerima dugaan ini, puas berikhtiar ke sana ke mari mencari penawar, banyak wang ringgit telah dihabiskan, dan selebihnya kami hanya bertawakal kepada Allah swt Tuhan sekalian alam.

Dunia sekarang sudah terlalu banyak disajikan dengan pelbagai berita tentang sikap buruk anak-anak terhadap ibu bapa. Bukan setakat berkasar atau ‘membuang’ mereka malah ada yang sanggup membunuh insan yang telah melahir dan membesarkan mereka. Benar, ini salah satu petanda akhir zaman, tapi saya sukar untuk mengerti bagaimanakah perasaan orang-orang yang sanggup memperlakukan ibu bapa sendiri seperti sampah terutamanya apabila mereka telah berjaya dan ibu bapa pula lanjut usia. Ada pelbagai sebab mengapa anak-anak memperlakukan ibu bapa sedemikian rupa. Antaranya ialah lupa diri, dipengaruhi oleh tekanan dek kehidupan semasa yang makin mencabar atau berada di bawah paras sedar seperti ketagihan dadah.

Kebanyakan anak-anak tidak betah menjaga dan membelai ibu bapa yang telah berusia sebagaimana mereka menjaga dan mendidik kita sedari kecil sehingga dewasa. Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan peningkatan bilangan warga emas yang menghuni pusat-pusat kebajikan masyarakat dan apa yang lebih menyedihkan ialah lebih 30% daripada mereka dihantar oleh anak kandung mereka sendiri. Seramai 1,714 warga tua mendiami sembilan buah Rumah Seri Kenangan kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat di seluruh negara pada tahun 2001 dan jumlah ini bertambah kepada 1,829 pada tahun 2003 dan 1,827 pada tahun 2005. Untuk tahun 2005, daripada jumlah 1,827 warga tua yang dihantar ke pusat jagaan orang tua, 751 orang terdiri daripada kaum Melayu, 558 orang adalah kaum Cina, 507 adalah India dan selebihnya seramai 11 orang adalah daripada lain-lain kaum.

Bagi mengatasi masalah pengabaian anak-anak terhadap ibu bapa sesetengah negara lain di Asia telah menggunakan kaedah undang-undang bagi memastikan anak-anak bertanggungjawab menjaga ibu bapa masing-masing. Contohnya, Singapura telah menggubal Akta Penanggungan Ibu Bapa (APIB) 1995, diikuti Filipina dengan Akta Pembiayaan Ibu Bapa 1998 dan India merangka Rang Undang-Undang Penanggungan dan Kebajikan Ibu Bapa dan Warga Emas (RUPKIBWE) 2006 (Razak, 2007). Melalui peruntukan undang-undang ini, ibu bapa yang teraniaya dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada anak-anak boleh mendapatkan keadilan di mahkamah (Ramasamy, 2007). Setakat ini Malaysia belum lagi melangkah sejauh itu untuk membela nasib golongan warga emas di negara ini.

Bagi saya terutamanya untuk kita yang beragama Islam, kita sudah pun mempunyai undang-undang yang termaktub di dalam Al-Quran sejak lebih 1400 tahun dahulu untuk menjaga dan mengasihi kedua orang tua kita. Allah swt berfirman :

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku sewaktu kecil”.(Surah Al-Israa: 23-24)

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu” (Surah Luqman: 14)


Umumnya ibu bapa tidak pernah meminta segala wang ringgit, penat lelah dan kasih sayang yang mereka telah curahkan pada kita untuk dibalas. Cuma di kala usia senja atau dalam keadaan lemah dan sakit mereka cuma mengharapkan secebis perhatian dari anak-anak untuk menumpang kasih. Sesungguhnya pengorbanan dan kasih sayang mereka terhadap kita adalah sangat ikhlas dan tidak bersyarat, dan jika hendak dihitung dengan ukuran wang ringgit pastinya kita tidak akan pernah mampu untuk membalas segala jasa mereka. Bayangkan mereka membesarkan dan mendidik kita dari bayi hinggalah dewasa, berpuluh-puluh tahun mengutamakan kepentingan kita dari kepentingan mereka sendiri, sanggup berlapar dan berletihan asalkan kita kenyang dan selesa, tetapi apabila mereka memerlukan sokongan kita walau hanya untuk seketika kita tidak mampu meluangkan masa kita untuk memberi sedikit kebahagiaan kepada mereka. Alangkah kejamnya kita..!

Merenung wajah cengkung mama di kala beliau tidur bertemankan ubat penahan sakit steroid dan morfin, saya selalu tertanya sendiri adakah saya sudah cukup menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang anak? Terlalu besar erti pengorbanan mama dalam memberikan saya ‘kehidupan’ ini malah sehingga saat ini beliau masih lagi mahu ‘memberi’ selagi hayat dikandung badan. Kata-kata semangat dan nasihat tidak pernah kering dari bibirnya untuk saya mengukir kejayaan dalam pelajaran dan kehidupan ini. Beliau tidak pernah meminta apa-apa daripada saya dan adik-adik tetapi saya boleh merasakan perbezaan riak wajahnya di kala kami menemaninya makan atau berehat di kamar sakitnya. Buat mama yang saya kasihi sepenuh hati, tiada apa yang mampu saya lakukan selain berdoa agar Allah swt memberi mama kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini dan semoga Allah swt mengampuni segala dosa mama dan meredhakan syurgaNya buat mama InsyaAllah. Jauh di sudut hati kecil saya, saya berikrar akan terus menjaga mama semampunya kerana Rasulullah saw pernah bersabda, keutamaan berbakti kepada kedua ibu bapa adalah melebihi berjihad di jalan Allah swt:

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud beliau berkata: “Aku bertanya kepada Nabi s.a.w, amalan manakah paling disukai Allah SWT? Baginda menjawab, solat pada waktunya. Saya bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab, kemudian berbakti kepada kedua orang tua. Saya bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab, jihad pada jalan Allah.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)


Rujukan:

Al-Quran dan hadis

Jabatan Kebajikan Masyarakat, www.jkm.gov.my

Ramasamy C. (2007) Menangani Masalah Anak Abaikan Ibu Bapa; Hukum Si Penderhaka?. Harian Metro, 17 Mac

Razak M. S (2007) Berbaktilah kepada ibu bapa, http://mohamadsofee.blogspot.com/2007/04/trend-menghantar-ibu-bapa-yang-telah.html

No comments: