27 February 2007

FAISAL MUSA

Dia jarang menghasilkan karya yang saya tidak gemari. Malah sejak 3,4 tahun kebelakangan ini, dia semakin serius memartabatkan Islam dalam karya-karyanya. Penyampaian dalam bentuk yang amat kreatif tetapi sangat bermesej, terlalu sinis juga kadangkala!
Dia tidak lagi asing bagi saya. Malah ketika menyelami dasar karya-karyanya saya seperti begitu memahami akan matlamat dan hala tuju hidupnya. Mungkin kerana kami mempunyai banyak persamaan dari segi itu. Bahkan bukan saya dan dia sahaja, tetapi juga dikongsi oleh ramai lagi umat Muhammad di luar sana, di serata pelosok dunia. Saya amat yakin tentang ini!
Mahu terus mengingati setiap hasil karyanya maka saya coretkan disini ringkasan novel-novel beliau yang saya gemari. Kerana saya pastinya tidak mempunyai banyak masa untuk mengulang baca keseluruhan cerita-cerita 'bombastic' belia
u..

1511H [KOMBAT]
Faisal Tehrani

Mendengung, menjunam, menyengat. Lebah sempat menggodekkan ekor merenung sebelum terbang. Tuan presiden rebah, kejang, terus koma.
Kombat 1511H. Ini zaman depan, tahun 2087 Masihi yang menuntut perang cara teknologi.

Bio-bots lipas dan belalang melitup langit dalam awanan aneh mengepak, menyerak gelombang. Satelit kucar-kacir, komputer huru-hara, radar kacau-bilau.

Cyborg, cypher, sarcos, Ababail, Mikraj, hydrogen sianida, mikrob pemakan logam, laser, segala macam lagi yang dipacu teknologi, teknologi, teknologi.

Syarifah Nusaybah, dia hartawan global, strategis licik yang jasadnya sentiasa diburu peluru, yang tahu kejayaan harus dibina dengan teknologi, bahkan sungguh-sungguh percaya kejayaan yang puncak adalah dengan futuwwah.
Etika yang mencuci jiwa, memperteguh roh: Bahawa manusia semata-mata hamba Tuhan. Semata-mata.

Tunggu Teduh Dulu
Faisal Tehrani

Kata Salsabila Fahim, ini cerita kecil, cerita sederhana tentang dia lari berteduh di bangsal di puncak bukit bersama Kamil dan Lam Ping Hai ketika hujan mula gerimis. Kata aku, ini perkara besar, hal berteduh sementara duga datang mencuba bukan hal main-main.

Kata Teh Sofia, ya kerja Tuhan siapa tahu?
Kata aku, Tuhan akan menunjukkan kepada siapa yang mencari. Ya, asal kau mahu mencari.
Dia menunjukkan.
Apa kata kau?

Advencer Si Peniup Ney
Faisal Tehrani


Hedonis. Begitu definisi kaum di negeri jauh itu. Landas hidup hanya untuk berseronok-seronok, bermewah-mewah, lazat, lazat, lazat. Berpantang arah tujuan, terlarang segala fikiran. Ya, aliran hedonisme menjunjung kelazatan dan puja-pujaan; emm, cita rasa, cita rasa!

40 remaja berwajah amat berseri-seri mengundang Sulaiman Hilmi yang bermata biru hijau berbalam, yang berwajah cahaya. Bersama mereka menunggang awan, memacu ombak menuju ke negeri jauh, membawa salam kesejahteraan. Demi menyahut panggilan Cinta. Menyerah buat dibakar api Cinta. Merawat duka rawan rindu kepada Cinta:

Bahawa yang paling seronok, paling mewah, paling lazat ialah kelazatan menunaikan janji abadi: Bawaha Dia itu Satu. Tempat bergantungnya segala sesuatu. Tumpuan hidup dan mati dan hidup lagi sesudah mati.
Dia Sumber Cinta, Pencipta Segala Rasa.

No comments: