23 August 2007

SEMPENA MERDEKA..(I)

KEMERDEKAAN : Antara Nilaian Bumi dengan Langit

Di ketika kita semua dalam suasana gembira untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-50, pernahkah kita terfikir, apakah erti sebenar kemerdekaan? Adakah diri kita ini benar-benar telah merdeka atau sebaliknya?

Dari penilaian bumi, sudah pasti kemerdekaan itu membawa erti membebaskan diri dari belenggu penjajahan semaada dari segi mental maupun fizikal. Kemerdekaan juga membawa erti membenarkan manusia mentadbir hidup mereka mengikut kemahuan mereka sendiri dan menghadapi semua masalah tanpa mengharapkan pertolongan orang lain atau jatidiri. Ini akan memberikan ruang untuk manusia mula berfikir dan berusaha sendiri bagi memastikan survival kehidupan mereka.

Nah, setelah melihat penafsiran kemerdekaan dari nilaian manusia, saya yakin kita berbangga dengan apa yang telah di capai oleh negara hingga ke hari ini. Kenyataan saya ini bukanlah mengangkat bakul sendiri tetapi hasil kenyataan masyarakat antarabangsa yang mengakui kehebatan Malaysia.

Namun apabila kita mengambil dari nilaian langit, maka kita akan dapati masih banyak berlaku kepincangan di kalangan umat islam malah tidak berlebihan kalau saya katakan ia juga melanda di kalangan orang-orang yang diistilahkan sebagai ”pendakwah”. Ini kerana Islam menafsirkan kemerdekaan bukan saja pembebasan fizikal dan fikiran tetapi yang lebih penting pembebasan jiwa. Ertinya seseorang itu bukan saja bebas untuk berjalan atau berfikir tetapi bebas dari keterikatan jiwa terhadap faktor duniawi. Mari kita renung apa yang di katakan oleh Abul Qasim Al-Junaidi rahimahullah yang menafsirkan kemerdekaan ini sebagai ”merdeka dari yang semua selain Allah”. Dalam rangkap lain beliau mengatakan ”Sesungguhnya kamu tidak akan sampai kepada kebebasan (kemerdekaan) yang nyata sedangkan pada dirimu terdapat sisa-sisa yang menghambat dirimu untuk sampai kepada hakikat penghambaan diri kepadaNya”. Subhanallah..

Berapa ramai saya lihat pendakwah yang tewas dengan jawatan, tenggelam dalam kekayaan, tertipu dengan kedudukan, menangis kehilangan harta, terkongkong dengan ikatan keluarga dan tidak kurang pula yang kalah dengan tangisan anak di rumah. Apapun yang alasan yang diberikan tidak akan menolak hakikat bahawa inilah ikatan-ikatan yang membelenggu ”kemerdekaan” umat Islam hari ini. Mereka dijajah di dalam merdeka. Akibatnya, pendakwah menjadi lesu, malas untuk bekerja, mengutamakan kerehatan dari kepenatan dakwah. Selagi ikatan-ikatan ini mengikat jiwa pendakwah maka selagi itulah ketewasan jiwa akan terus berlaku. Apalah erti kemerdekaan jika kita sendiri diikat dengan runtunan nafsu serakah.

Kebebasan jiwa dan hati adalah pemisahan perasaan di dalam hati sanubari sehingga hati selalu merasa mulia dan menang. Kebebasan fikiran adalah tidak mencampur adukkan syari’at dengan persepsi bumi yang diada-adakan dan menyesatkan banyak golongan. Kebebasan beramal adalah kekal di dalam barisan dan meninggalkan perpecahan.

Aminuddin Yahaya
Setiausaha Agung
Ikatan Muslimin Malaysia

No comments: